Bukan mudah untuk menjadi ibu yang berilmu dari segala segi..justeru matlamat utama blog ini adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin info berkaitan bayi dan ibu..untuk rujukan tuan blog dan sesiapa jua yang sudi singgah di blog ini. Segala info adalah dipetik dari sumber seperti dinyatakan..same2 la kite menilai dengan penuh bijaksana.

Wednesday, May 9, 2012

Ruam Bayi


Hmm..kali ni ummi nk share tentang masalah ruam pada bayi..dipetik dari Harian Metro. Mungkin boleh dijadikan rujukan oleh ummi di hari mendatang..juga rujukan pada mereka diluar sana yang mencari info tentang masalah ruam ni..meh kutip ilmu..


Masalah kulit hilang sendiri

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
     
RESAH...ruam yang tumbuh bukan penyakit tetapi alahan.
RESAH...ruam yang tumbuh bukan penyakit tetapi alahan.


RAMAI ibu bapa yang pernah berhadapan dengan masalah kulit bayi yang mengalami kemerahan              dan kasar pada bahagian pipi, dagu. leher serta anggota tubuh yang lain. Ramai juga yang                    beranggapan ia disebabkan terkena susu ketika menyusu.

Masalah ruam tetap akan berlaku sama ada bayi minum susu secara campuran iaitu susu ibu dan               susu formula ataupun menyusu badan. Ini kerana berkemungkinan bayi terbabit mengalami alahan         kepada susu formula yang diambil juga daripada pemakanan si ibu.


   
  • Foto
  • Foto


Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul, berkata ruam susu             ataupun ekzema kebiasaannya lebih banyak berlaku kepada bayi yang diberikan susu formula.

Keadaan ini disebabkan bayi terbabit mengalami alahan kepada susu berasaskan protein lembu yang diberikan, terutama bagi mereka yang berada pada peringkat usia yang masih muda.

Justeru, ibu bapa digalakkan menukar pemberian susu formula kepada susu soya bagi mengurangkan        kesan alahan dialami.

“Ruam tidak akan berlaku dengan begitu saja kerana ia tetap memerlukan pencetus bagi memberikan        lebih ‘kekuatan’ untuk ‘tumbuh’ dan biasanya masalah ini berpunca daripada faktor genetik ataupun              secara semula jadi (iaitu bayi terbabit dilahirkan dengan potensi mengalami ekzema).

“Disebabkan itu, ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diambil dan diberikan kepada bayi          selamat untuk dimakan terutama pada peringkat awal tumbesaran mereka,” katanya ketika ditemui,         baru-baru ini.

Seperti yang diketahui katanya, susu ibu adalah sejenis makanan dan jika dibiarkan pada kulit terlalu         lama, ia akan menyebabkan berlakunya tindak balas bakteria dan fungus akan mudah membiak pada bahagian yang tidak dibersihkan.

Oleh itu untuk mengatasinya, si ibu perlu membersihkan segera segala baki susu yang terdapat di pipi           bayi dan dapatkan krim yang sesuai untuk merawat ruam jenis ini.

“Perkara paling penting yang perlu dilakukan ibu bapa adalah menjaga persekitaran bayi agar sentiasa            bersih bukan saja daripada segi makanan kerana ketika ini, bayi masih lagi dalam proses untuk                  membina daya tahan diri semula jadi mereka.

“Penting untuk memastikan bayi sentiasa berada dalam keadaan bersih. Masalah ruam menyebabkan           bayi dalam keadaan tidak selesa hingga mempengaruhi mood dan ia boleh menyebabkan tekanan             kepada si ibu dan bayi,” katanya.

Tidak dinafikan katanya, masalah ruam susu yang berlaku dalam kalangan bayi ini juga dianggap             sebagai alahan terhadap susu yang diambil tidak kira sama ada melalui susu ibu ataupun susu formula.

Jika keadaan ini yang berlaku, biasanya ibu dinasihatkan untuk menyusukan bayi sepenuhnya atau jika terpaksa mencampur susu, gunakan susu berasaskan soya.

“Memang ada bayi yang disusukan dengan susu ibu mengalami masalah ini namun bukan disebabkan           terkena susu ibu, tetapi lebih kepada kemungkinan bayi itu mengalami alahan terhadap sesuatu bahan.

“Jika si ibu memakan makanan yang tidak sesuai dan bayi alah pada makanan itu, ia juga boleh          menyebabkan berlakunya ruam susu,” katanya.

Namun menurutnya, ibu ataupun bapa tidak perlu risau dengan masalah ini kerana kebanyakan masalah berkaitan kulit bayi bersifat sementara dan ia akan hilang dengan sendirinya.

Malah, ruam yang tumbuh itu juga bukan dikategorikan sebagai sejenis penyakit, tetapi berpunca               daripada alahan. Bagaimanapun, ia masih boleh berlanjutan sehingga bayi itu menjangkau usia                    dua tahun, tetapi kes sebegini jarang berlaku.

“Ibu bapa perlu sentiasa memastikan makanan yang diberikan kepada bayi tidak mengandungi bahan              yang menyebabkan alahan kepada mereka kerana ia tidak boleh dikesan dengan begitu saja, tetapi membabitkan pemerhatian berkala yang efektif.

“Jika anak mula menampakkan kesan alahan kepada bahan makanan yang diberikan, hentikan                   dengan segera kerana ruam sebegini memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk                  pulih terutama jika ia berapa pada peringkat yang agak teruk,” katanya.

Kebiasaannya ruam terbabit mula kelihatan sebelum umur bayi mencecah dua bulan dan kebiasaannya            jelas kelihatan pada bahagian pipi.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kesan ruam, ibu bapa boleh menggunakan sabun khas tanpa                bahan pewangi dan tanpa sabun sebagai ejen pembersih.

“Walaupun tidak ‘menarik’ disebabkan tiada bau dan buih, ia jalan terbaik untuk mengurangkan ruam          dialami anak mereka.

“Sementara itu, penggunaan pelembap juga perlu bagi memastikan kulit yang kering di kawasan ruam berkenaan tidak memberikan lebih kesan ketidakselesaan namun ia juga perlu daripada bahan tanpa pewangi,” katanya.

Di samping itu, ruam susu atau ekzema juga mempunyai hubung kait dengan penyakit asma dan             apabila bayi menghadapi masalah itu, selalunya mereka juga akan mengalami batuk berkahak                     dan berhingus.

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan sistem pertahanan tubuh bayi terlalu tinggi sehingga                menjadi amat sensitif kepada persekitaran terutama habuk walaupun dalam jumlah yang sedikit.

“Masalah ini berkaitan kerana ia adalah ‘penyakit’ yang dibawakan melalui kesan alahan yang             menyebabkan daya tahan badan bayi berkenaan mengalami sedikit kekeliruan.

“Walaupun cara ia ‘dikeluarkan’ ataupun tumbuh berbeza tetapi tetap berada dalam kategori                    yang sama. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sebelum ini mengalami ekzema                        mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalaminya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Comment: